Selamat Datang Ke Portal PENIAGAWATI


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.

Bagi pihak Persatuan Wanita Bumiputera Di dalam Perniagaan dan Profesyen atau lebih dikenali dengan nama “Peniagawati”, saya mengucapkan Salam Sejahtera kepada semua yang melayari portal persatuan kami ini. Portal ini telah dilancarkan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada M ajlis Minum Petang DiRaja 2008 yang telah berlangsung pada 26 April 2008 di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana. Portal ini menggantikan laman web Peniagawati yang dahulu. Ianya memuatkan pelbagai maklumat tentang Peniagawati serta aktiviti-aktivitinya. Portal ini juga diharapkan dapat meluaskan jaringan niaga dan pasaran produk bagi ahli Peniagawati serta semua usahawan. Dengan itu, saya menyeru agar ahli Peniagawati dapat melayari portal ini dari masa ke semasa untuk mendapat manfaat dari maklumat terkini yang diberikan.

Peniagawati adalah persatuan usahawan wanita yang premier di Malaysia dan pada tahun ini, Peniagawati telahpun menyambut ulangtahun ke 28 secara gilang-gemilang pada Majlis Minum Petang DiRaja 2008 di mana Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tekah berkenan merasmikan upacara memotong kek ulangtahun Peniagawati.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1980, Peniagawati telah mengadakan pelbagai program selaras dengan objektifnya untuk membangunkan usahawan wanita bumiputera dari segi kualiti dan kuantiti. Fokus utama sentiasa diberikan kepada program latihan keusahawanan bagi memperkasakan usahawan wanita seperti penganjuran seminar, kursus, bengkel dan taklimat oleh Peniagawati sendiri ataupun hasil kerjasama dengan badan lain seperti kementerian dan agensi kerajaan serta institusi kewangan.

Pada tahun lalu, Peniagawati telah menganjurkan Seminar Peningkatan Produktiviti Usahawan Wanita bersama Malaysian Productivity Corporation (MPC) di beberapa lokasi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang pada 20 Ogos 2007; di Johor pada 12 September 2007; di Kota Kinabalu pada 26 November 2007; dan yang terbaru sekali di Melaka pada 22 April 2008.

Seminar Undang-Undang untuk Usahawan anjuran Peniagawati Negeri Sembilan dengan kerjasama MARA Negeri Sembilan pula telah diadakan pada 30 Ogos 2007; taklimat ‘Business Plan & Strategic Planning’ dengan kerjasama SMIDEC pada 16 September 2007; taklimat Pengurusan Kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit pada 20 Februari 2008; serta kursus Pengurusan Stres sebanyak 4 siri yang telah dijalankan di PPR Gombak Setia pada 16 & 30 Mac 2008; Pertubuhan Taska Malaysia, Subang Jaya pada 19 & 20 April 2008; Wisma MCA pada 11 & 18 Mei 2008; dan Menara MAA pada 25 Jun 2008.

Bagi membuka peluang perniagaan bagi ahli kita di Zon Selatan, Peniagawati telah menganjurkan lawatan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka pada 28 Mac 2008 di mana Pengarah UPEN Melaka telah memberi taklimat ringkas mengenai peranan UPEN Melaka serta beberapa agensi di bawahnya di dalam usaha membangunkan usahawan bumiputera melalui aktiviti promosi dan pasaran produk di negeri Melaka.

Pada tahun lepas juga, Peniagawati telah menganjurkan Majlis Anugerah Usahawan Wanita 1957-2007 pada 15 Ogos 2007 bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara kita dan untuk memberi penghargaan kepada usahawan wanita bumiputera yang telah memberikan sumbangan kepada ekonomi negara semenjak merdeka. Majlis Anugerah tersebut telah dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sebagai tetamu kehormat di mana beliau telah menyampaikan anugerah kepada lima usahawan wanita bumiputera berwibawa yang mewakili setiap dekad semenjak kemerdekaan Malaysia iaitu Allahyarhamah Hjh Atikah Mohd (Dekad 1: 1957-1967); YM Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah Tengku Ismail (Dekad 2: 1967-1977), Datin Freida Dato’ Mohd Pilus (Dekad 3: 1977-1987), Puan Shamsimar Mohd Yusof (Dekad 4: 1987-1997) dan Puan Noraini Soltan (Dekad 5: 1997-2007).

Selain dari 5 anugerah tersebut, YAB Perdana Menteri juga telah menyampaikan anugerah khas iaitu “Anugerah Mutiara Peniagawati” kepada YB Dato’ Seri Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada masa itu yang juga merupakan Penaung Peniagawati atas khidmat dan sumbangan beliau kepada pembangunan usahawan wanita serta ekonomi negara.

Selain daripada program pembangunan usahawan, Peniagawati juga tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawab sosial, kebajikan dan agama. Peniagawati telah meraikan anak yatim dari Rumah Saudara Baru An-Najjah dan Pusat Jagaan Didik Murni, Kuala Lumpur pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Anak-Anak Yatim pada 27 Oktober 2007. Majlis Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha pula telah diadakan pada 20 Disember 2007 di mana ahli Peniagawati telah berkongsi mengorbankan 2 ekor lembu di Masjid Al-Akram, Keramat, Kuala Lumpur. Seterusnya, Biro Agama dan Kebajikan telah menganjurkan lawatan ke Wad Pediatrik 4 (Onkologi), Pusat Perubatan UKM Cheras pada 11 Mac 2008 untuk bermesra dengan pesakit kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun yang mengidap penyakit lukemia dan kanser.

Program dan aktiviti yang dapat saya huraikan di atas merupakan hanya sebahagian daripada aktiviti Peniagawati bagi tahun lalu. Banyak lagi aktiviti yang sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan tahun hadapan. Dengan itu, saya menyeru agar semua usahawan wanita bumiputera menyertai persatuan Peniagawati sebagai ahli supaya kita dapat berkongsi pengalaman dan bekerjasama di dalam usaha untuk meningkatkan perniagaan, taraf hidup dan prestasi kita serta memantapkan dayasaing dan dayatahan sebagai usahawan berjaya di dalam dunia perniagaan. Saya juga mengalu-alukan penyertaan ahli Peniagawati di dalam semua program yang dianjurkan oleh Peniagawati.

Besar harapan saya bahawa kita semua dapat berganding bahu di dalam usaha meningkatkan martabat usahawan wanita bumiputera di Malaysia melalui aktiviti persatuan yang kita sayangi ini supaya golongan usahawan wanita bumiputera akan menjadi golongan yang berjaya dan disegani bukan saja diperingkat nasional tetapi di peringkat antarabangsa.

Sekian. Terima kasih.

Wassalam.

Yang Benar,
PENIAGAWATI MALAYSIA



DATO’ HAZIMAH ZAINUDDIN
Presiden

 
 
Hak Cipta Terpelihara © 2008 PENIAGAWATI